Wednesday, 15 April 2009

Bandung Tidak Sesejuk Dulu


Tahun 1969, 1970 dan 1971 Bandung menerima penghuni sementara untuk selama lima hingga tujuh tahun. Pelajar-pelajar Malaysia mula membanjiri Kota Bandung untuk menimba ilmu dan semangat bangsa Indonesia. Suatu bangsa yang mencapai kemerdekaan mereka melalui perjuangan dan dengan penuh semangat bambu runcing.
Saya menjejak kami ke Bandung pada bulan Julai 1970 bersama dengan kawan-kawan yang lain yang ditaja oleh JPA, Kementerian Pelajar, Mara dan ada yang atas biaya sendiri. "Indah sungguh Bandung", itulah cetusan pertamaku apabila kakiku memijak bumi Bandung. Hari-hari seterusnya kami lalui dengan penuh gembira dan bersemangat untuk segera pulang dengan ilmu di dada untuk berbakti kepada negara tercinta Malaysia.
Kesejukan malam dan pagi begitu membuat damai di hati. Saya memilih untuk berjalan kaki dari rumah "indekos" di Jalan Flores 4 ke Institut Teknologi Bandung (ITB) pada waktu pagi untuk menikmati kesejukan pagi yang damai. Pada tahun pertama di Bandung kami belum mampu untuk membeli motorsikal jadi senaman terbaik ialah dengan berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari Jln Flores ke ITB. Ternyata senaman yang dibuat sedikit-sedikit setiap hari membuahkan perasaan tenang dan gembira, dalam perjalanan saya boleh melihat gelagat orang Bandung yang berbagai. Anak-anak berjualan surat khabar dan majalah berada di mana-mana. Mereka begitu tekun mencari rezeki.
Pada 5 April hingga 9 April 2009, saya buat kesekian kalinya ke Bandung. Saya sudah hilang hitungan sudah berapa kali saya ke Bandung sejak pulang dengan membawa Ijazah, IjabSah dan anak pertama. Setiap tahun saya pasti ke Bandung dan kadang-kadang dua atau tiga kali saya ke Bandung. Namun kini, pembangunan telah pesat berlaku dan Bandung Tidak Sesejuk Dulu.